PENGENALAN

Projek Peta Malaysia Gergasi 'Malaysiaku Jubli Emas'

                  Sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat di negara ini. Hanya selepas pentadbiran kerajaan Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak mengisytiharkan tarikh 16 September sebagai hari kelepasan am pada peringkat Persekutuan, sambutan Hari Malaysia mula diperhebat di seluruh negara. Peringkat IPG Kampus Darulaman sendiri, tarikh 16 September atau yang hampir dengannya sememangnya telah dipilih sebagai tarikh penutup kepada Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat IPG Kampus Darulaman.

            Sedar atau tidak, tahun ini Malaysia meraikan ulang tahun ke-50 sambutan penubuhannya iaitu pada 16 September 2013. Maka, para pelajar PISMP Pendidikan Sejarah Semester Dua Ambilan Januari 2013 terasa terpanggil untuk mempromosikan sambutan Jubli Emas Malaysia ini dengan lebih bermakna dan signifikan. Sekali gus, tercetuslah idea untuk menghasilkan satu projek membina peta Malaysia terbesar di Malaysia dengan menggunakan gumpalan-gumpalan kertas.

            Dengan kerjasama Jabatan Kajian Sosial, Jabatan Pengajian Melayu serta ditaja oleh Feerena Beauty Care Sdn Bhd, Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan Era Edar Marketing Sdn Bhd, kami para pelajar PISMP Pendidikan Sejarah Semester Dua Ambilan Januari 2013 memulakan usaha membina peta Malaysia gergasi ini yang akan mendapat pengiktirafan di dalam Malaysia Book of Records.


            Usaha seperti ini bukanlah mudah. Kami memerlukan sekitar 204 000 sehingga 210 000 gumpalan berbentuk bebola menggunakan kertas-kertas surat khabar, penggunaan cat serta penggunaan padang IPG Kampus Darulaman yang menelan keluasan 150 meter X 50 meter. Namun begitu, kami yakin melalui usaha kami ini, masyarakat akan mula menyedari keistimewaan sambutan Hari Malaysia pada tanggal 16 September setiap tahun.

No comments:

Post a Comment